JANUARI 2023

Anwar Punyai Keupayaan Terajui Kebangkitan Negara: Premier


KUCHING, Khamis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari Tun Openg melahirkan keyakinan bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat martabat negara sebagai negara yang dihormati di rantau ini.  

Dengan pengalaman yang luas sebagai pemimpin tertinggi negara sebelum ini, Dato’ Seri Anwar sebagai ketua Kerajaan Perpaduan berkeupayaan untuk mengembalikan kedudukan negara yang pernah dikenali sebagai “Asian Tiger” pada tahun 80an, ujar beliau.

Berucap pada Jamuan Negeri sempena lawatan pertama Dato’ Sri Anwar sebagai Perdana Menteri, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata Kerajaan GPS pimpinan beliau menyokong penuh kepimpinan Dato’Sri Anwar untuk meneruskan agenda pembangunan nasional. 

Mengambil kira kepentingan nasional melalui penubuhan sebuah kerajaan yang stabil GPS menghormati titah Seri Paduka Baginda YDP Agong supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang, jelas beliau. 

“Saya memberi jaminan Sarawak akan terus berada dibelakang kepimpinan YAB Perdana Menteri,” kata beliau.

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari pada awal ucapan telah menyentuh sepintas lalu mengenai hala tuju ekonomi Sarawak yang berteraskan tindakan terhadap perubahan iklim dunia dan pembangunan ekonomi hijau.

Sumber dari : Sarawakku